Friday 23 October 2015

SEJARAH SEKOLAH


            Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1967.  Nama sekolah ini belum pernah ditukar sejak dari ia ditubuhkan.  Ia masih kekal dengan nama SRK Kampung Beraya. Pada tahun 1999 SRK ditukar kepada SK (Sekolah Kebangsaan) kerana untuk menyeragamkan identiti sekolah seluruh Malaysia.

            Bangunan ini dibina daripada kayu dan beratapkan daun nipah pada awalnya.  Kemudian sekolah ini diubahsuai oleh kerajaan dan atapnya beratapkan zink.  Bangunan sekolah ini pada awalnya mempunyai 3 bilik darjah dan 1 bilik pejabat guru dan 1 bilik pejabat Guru Besar.  Jarak sekolah ini dari pusat pentadbiran Bandar Miri adalah lebih kurang 40 km dengan menggunakan jalan bertanah/pasir.  Disebabkan itu juga ia terpisah dari pusat pentadbiran mengakibatkan kemudahan di sini belum lengkap dan tidak mempunyai bekalan elektrik dan air yang bersih.

            Sekolah ini mulai dibuka dengan hanya 20 orang murid lelaki dan perempuan.  Hanya sebuah kelas Tahun 1 dengan 2 orang guru yang mengajar.

Sekolah ini diasaskan oleh seorang guru dengan bantuan orang kampung di sini.  Guru ini berasal dari Kuching.  Beliaulah mula-mula sekali mengajar di sini dengan belajar di bawah bangunan yang didirikan dengan atap daun, berdinding kulit kayu.  Guru tersebut bernama En. Bakhtiar Mindin.

            Sekolah ini mendapat namanya daripada nama kampung ini sendiri iaitu Kampung Beraya.  Kalau dikut maksud Beraya dalam kamus ialah berpesta, tetapi bagi penduduk kampung di sini tidak ada membawa apa-apa erti.  Terdapat juga sebuah kisah lampau sebelum kampung ini diberi nama Kampung Beraya.  Orang di sini menceritakan bahawa terdapat seorang wanita cantik yang selalu datang ke kampung ini.  Wanita tersebut berketurunan Dalih, rupa parasnya sungguh cantik.  Setiap kali wanita cantik itu datang, orang ramai akan berpusu-pusu datang menyambut wanita tersebut ditepi pantai seolah-olah ianya sebuah pesta/perayaan.  Orang ramai yang datang untuk menyaksikan kecantikan wanita tersebut hingga tak terbilang banyaknya.  Orang tua-tua mengatakan, kalau pokok kelapa diletak di pantai ini batang pokok tersebut hancur dipijak oleh orang yang datang.  Daripada kisah inilah kampung ini dinamakan Kampung Beraya.

            Kini setelah 37 tahun penubuhannya, SK Kampung Beraya sudah dihubungi oleh sistem jalanraya yang baik. Sistem jalanraya Trans Borneo Highway dibina bermula awal tahun 2003 dan siap melepasi kawasan dari Maktab Perguruan Sarawak hingga Bekenu melalui Jalan Bakam.  Kemudahan elektrik ke kawasan kampung bermula pada tahun tersebut.  Bagi sekolah kemudahan elektrik mula dibekalkan pada tahun 2004 sejajar dengan kehendak kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan ICT ke seluruh sekolah di Malaysia.
           

            Pada masa sekarang, S.K Kampung Beraya mempunyai 6 buah bilik kelas, bilik guru besar, bilik guru, perpustakaan, bilik RMT dan 5 kuarters guru.  Jumlah staf adalah sebanyak 13 orang. Pada tahun 2006, S.K Kampung Beraya mendapat perluasan bagi pembinaan bangunan prasekolah yang siap pada tahun berikutnya hingga kini.

No comments:

Post a Comment